Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat Rasulullah Sallahu Alaihhi Wasallam. Keluarga baginda, para sahabat, serta umat Islam yang sentiasa mengikuti dari masa ke semasa sehinggalah ke penghujungnya. Insya-Allah.
Boleh dikatakan, apa yang ada pada alam ini sentiasa berubah. Bilamana kita melihat matahari yang terbit daripada nun timur.. ia tidaklah kekal sentiasa di situ. Sedikit demi sedikit, ia mula bergerak sehinggalah bertemu dengan penghujung barat. Maka, terjadilah proses kejadian siang dan malam yang selama ini kita pelajari dan ketahui.
Matahari berubah. Suasana pun berubah. Apa yang berada disekeliling kita juga turut berubah. Pokoknya, hampir semua yang terlibat dengan kehidupan di dunia ini sentiasa bergerak dan sentiasa berubah. Namun, jika kebanyakkannya berubah, perkara yang paling penting dalam arus perubahan adalah diri kita sendiri. Pernah atau tidak kita menanyakan diri tentang berubah?
Persoalan yang penting : Mengapa perlu berubah?
Berubah. Persoalan dalam perubahan juga penting. Seseorang itu perlu tahu apa itu perubahan.. dan perlu tahu akan sebab mengapa dia berubah? Berubah secaraperlahan-lahan atau secara mendadak? Berubah itu pelbagai. Daripada hodoh, ke cantik. Daripada buruk, ke baik. Dan bermacam-macam lagi.
Realiti pada hari ini, ada segelintir daripada kita tidak boleh menerima perubahan. Mungkin kerana dek sudah terlena pada kedudukan yang cukup selesa. Katalah seseorang itu pada awalnya seorang yang berharta dan bermewah. Lalu, sedikit nikmat yang bernama ujian itu menjengah pada dia.
Hidupnya yang selama ini sangat baik, bertukar keadaan. Dia tertanya-tanya dan masih lagi belum boleh menerima dengan keadaan yang terjadi pada dirinya. Boleh jadi yang buruk itu baik untuk kita, dan yang baik itu buruk kepada kita. Insan, cetek ilmunya. Maka serahkanlah pada pemilik-Nya. Tawakkal.
Baik. Jika itu lebih bersifat peribadi, bagaimana pula nanti kita akan hadapi dengan majoriti duniawi? Agak mustahil jika seseorang itu mengatakan aku tidak akan mati dalam peperangan dengan tidak memulakan persediaan awal untuk dirinya. Jadi, jika kita tidak boleh menerima diri sendiri, bagaimana kita ingin menerima diri orang lain? Orang lain itu sudah pastinya berlainan dengan diri kita walaupun orang lain itu adalah keluarga kita sendiri. Walaupun datang dari seibu dan sebapa yang sama. Seharusnya bagaimana?
Mulakanlah dengan menerima diri sendiri. Disusuli dengan perubahan yang mana kurang baik ditukarkan kepada yang baik. Lalu, belajarlah menerima perubahan orang lain sekalipun sukar. Bantulah mereka jika perubahan yang dilaksanakan itu pada jalan yang salah. Kerana sebaik-baik perubahan adalah kembali kepada fitrah.
Ayuh kembali kepada ketentuan dan seruan dari Allah Azza Wa Jalla.
No comments:
Post a Comment
Sila tinggalkan komen / pesanan atau cadangan anda berkaitan post di sini :