Hubungan Apple dan Google sering menjadi perbualan ramai tetapi menurut Eric Schmidt yang memegang jawatan Google Executive Chairman, kedua-dua syarikat kini lebih baik dan mereka mengadakan banyak mesyuarat bersama-sama.
Schmidt tidak menjelaskan secara detail apakah isi pertemuan-pertemuan tersebut tetapi mengatakan kedua-dua syarikat sering bertemu secara profesional bagi membincangkan banyak perkara-perkara bisnes. Kebanyakan pertemuan tersebut dihadiri oleh Nikesh Arora, Google Chief Business Officer, yang turut bersama Schmidt ketika ditemubual di Sun Valley, Idaho.
Kedua-dua syarikat mempunyai hubungan yang sangat baik suatu ketika dahulu. Schmidt menyertai Apple pada tahun 2006 dan kemudiannya iPhone dilancarkan pada tahun 2007 bersama-sama aplikasi Youtube dan Google Maps terbina dalam. Perkara tersebut mula berubah apabila Google melancarkan Android tidak lama selepas itu. Di dalam biografi yang ditulis oleh Walter Isaacson, Steve Jobs berkata beliau akan ‘berperang’ dengan Google kerana Android adalah produk curi.
“Saya akan menggunakan setiap nafas saya dan sanggup menggunakan setiap dollar daripada $40billion duit Apple di dalam bank untuk memperbetulkan keadaan ini,” kata Steve Jobs. “Saya akan menghancurkan Android kerana ia adalah produk curi, dan saya sanggup berperang ‘thermonuclear’.”
Schmidt kemudiannya meninggalkan Apple pada tahun 2009, ketika Google melancarkan Chrome OS. Apple pula menggantikan Google maps di dalam iOS dengan maps mereka sendiri yang menimbulkan kontroversi kerana mempunyai masalah, dan kemudiannya aplikasi Youtube milik Google juga dibuang daripada iOS.
Ketika ditemubual, secara kebetulan CEO Apple, Tim Cook yang turut hadir lalu di situ. Chief Business Officer Google, Nikesh Arora menjerit kepada beliau, “Tim, kami di sini mahu menangkap gambar bersama anda!” Tim Cook menerima ajakan tersebut tanpa berkata apa-apa.“Kami dapat buat Tim senyum” kata Schmidt. “Petanda yang bagus,” katanya lagi.
Bloomberg pula melaporkan Schmidt sangat menghormati Apple.
“Kami sentiasa bertemu untuk berbincang mengenai banyak perkara. Ini adalah dua syarikat yang berbeza tetapi hebat dan dibanggakan” kata Schmidt.
Walaubagaimanapun, persaingan antara kedua-dua syarikat gergasi ini dijangka akan berterusan apabila Apple akan melancarkan iPhone dan iPad baru serta iOS 7 pada bulan September dan Google dikatakan akan berbelanja besar, lebih setengah bilion untuk mempromosikan peranti terbaru daripada Motorola, Moto X yang akan dilancarkan tidak lama lagi.