Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Juga buat keluarga Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, para sahabat radhiallahu ‘anhu, pengikut-pengikut yang setia, serta umat Islam yang sentiasa taat pada agama-Nya dengan penuh rasa cinta dari semasa ke semasa sehinggalah bertemu dengan DIA.
Terlalu banyak yang berkata mengenai cinta. Cinta antara kau dan aku. Cinta antara lelaki dan wanita. Cinta antara adam dan hawa. Realitinya, asyik dengan belaian perasaan. Sentiasa merasa berkeinginan, terutama sekali pada sang kekasih. Pada pasangan kita. Dan apabila perasaan diselimuti emosi, perkataan ya dengan mudah kita melafazkan kalimah itu. Aku cinta padamu!
Murah dan bersepah-sepah.
Cinta itu sebenarnya apa?
Agama. Bilamana diri merasa lemah, rebah, tidak berupaya, ketika itu cuba mencari arah. Ramai juga yang membicarakan fasal agama. Namun, tidak ramai yang istiqomah. Tertewas dipertengahan jalan. Terlalu lemah. Kekuatan itu pudar dengan cepat dalam diri. Bagai habuk yang lenyap dari pandangan kaca mata kita. Takbir!
Mencari semangat yang longlai.
Agama itu sebenarnya apa?
Cinta yang benar, tidak akan menolak agama. Begitu juga agama. Tidak akan menolak cinta secara buta-buta. Kerana cinta itu sifat insani yang ada pada setiap diri kita. Pemberian daripada Tuhan buat setiap insan. Namun, pemberian itu bukanlah bermakna pemberian yang tiada makna. Semua itu adalah menjadi kewajipan kita untuk mengurus cinta dan mengurus agama dengan baik. Ada batas-batas yang harus dipelihara. Kerana keterlaluan itu sangat bahaya.
Usah emosi.
Tundukkanlah nafsu sebelum diri ditundukkan.
Cinta Allah dan Rasulullah
“Jika seseorang itu mencintai kekasihnya, maka si dia harus mencintai apa yang dicintai oleh kekasihnya itu.” kalam Syeikh Rohimuddin.
Setuju. Akan tetapi, seseorang itu perlu jelas dan tahu tentang apa yang disukai dan dicintai oleh kekasihnya. Sekiranya mencintai secara melulu, tanpa selidik, tanpa berfikir, maka cinta itu sudah menjadi sebaliknya. Cinta itu tidak lagi indah. Cinta itu lari dari sifat asalnya. Fitnah barangkali.
Allah berfirman yang bermaksud; “Katakanlah: (Wahai Muhammad) ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa kamu. ‘Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [Surah Ali 'Imran 3:31]
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., daripada Nabi SAW. Baginda bersabda yang bermaksud: “Jika Allah mencintai seorang hamba-Nya, Dia memberitahu kepada Jibrail: ‘Sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka cintailah dia.’ Jibrail pun mencintai fulan tersebut dan kemudian dia menyeru di kalangan penduduk langit: ‘Sesungguhnya Allah telah mencintai si fulan, maka cintailah dia.’ Seluruh penduduk langit pun mencintai si fulan tersebut. Kemudian, seluruh penduduk bumi juga dijadikan mencintai si fulan tersebut.” [Riwayat al-Bukhari no.3037 dan Muslim no.2637-Kitab Riyadhus Solihin.Imam Nawawi].
Barangsiapa yang cinta Allah dan Rasulullah, maka seseorang itu perlu mengutamakan Allah dan Rasul-Nya terlebih dahulu daripada segala macam.
Persoalannya. Apakah cinta Allah dan Rasulullah yang kita cintai?
No comments:
Post a Comment
Sila tinggalkan komen / pesanan atau cadangan anda berkaitan post di sini :