Friday, July 5, 2013

Fatwa Merokok Adalah Haram Untuk Umat Islam - [ Keterangan dan Hujah ]


Dibawah ini adalah peringatan dari JAKIM dipetik dari BERNAMA(22 Julai 2011) mengenai HARAM merokok kepada umat islam,
PUTRAJAYA: Masih ramai di kalangan umat Islam di negara ini mengambil mudah mengenai fatwa Merokok Adalah Haram, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Othman Mustapha.
Justeru itu katanya, Jakim dan Kementerian Kesihatan hari ini bekerjasama mengadakan Seminar Pendidikan Fatwa Merokok Adalah Haram sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran.
“Ia juga sempena kehadiran Ramadan hujung bulan ini yang diharap dapat dijadikan permulaan bagi umat Islam mengubah tabiat menghisap rokok,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar itu di sini, Jumaat.
Walaupun pelbagai kempen kesedaran telah dilaksanakan, Othman berkata jumlah penghisap rokok terus meningkat.
Menurut Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada tahun ini lebih lima juta penduduk dunia akan mati akibat penyakit berkaitan merokok antaranya serangan jantung, strok dan kanser.-BERNAMA

Keterangan/Hujah:

1. Isu tabiat merokok ini timbul adalah hasil Seminar Pembasmian Tabiat Merokok anjuran Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM) pada 2 November 1994 di mana telah meluluskan resolusi untuk menubuhkan badan bertindak kebangsaan bagi memerangi tabiat merokok di kalangan rakyat Malaysia.

2. Pada masa kini jumlah perokok sama ada di negara maju atau negara membangun masih begitu besar, walaupun berbagai usaha telah dibuat oleh Kerajaan serta juga badan-badan sukarela bagi menyedarkan orang ramai tentang bahayanya merokok kepada kesihatan.

3. Pihak kerajaan telah membelanjakan banyak wang untuk merawat berbagai jenis penyakit yang dikaitkan dengan tabiat merokok terutamanya penyakit kanser, barah paru-paru serta penyakit jantung.

4. Kajian perubatan telah dapat membuktikan bahawa setiap batang rokok mengandungi 6 hingga 8 mg nikotin dan setiap sedutan asap rokok sebenarnya kita menghidu 4,000 jenis bahan kimia, hamper kesemuanya boleh memudharatkan badan manusia.

5. Merokok boleh mengganggu kesihatan, menghilangkan nafsu makan, merosakkan anggota badan, melemahkan jantung, kanser, barah paru-paru, gangguan pernafasan dan merosakkan otak.

Hukum merokok pada pandangan Islam seperti berikut:

(a) Sebahagian ulamak berpendapat merokok adalah harus kerana tidak sabit tentang kemudharatan atau mabuknya. Mereka juga bersandar kepada kaedah “ Asal Sesuatu Itu Adalah Harus “

(b) Setengah ulamak berpendapat merokok adalah makruh iaitu dikaitkan dengan bawang merah dan bawang putih di segi baunya.

(c) Ramai daripada ulamak berpendapat merokok hukumnya haram kerana ianya jelas memudharatkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara keji.

(d) Nas-nas Al-Quran dan hadith seperti berikut adalah menjadi asas kepada penetapan hukum:

Maksud firman Allah swt dalam surah al-Baqarah ayat: 195 “ Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan “

Keputusan (hukum) Merokok Dari Pandangan Islam :

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan. – Sumber www.e-fatwa.gov.my

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan komen / pesanan atau cadangan anda berkaitan post di sini :